Bidik Tepat

Semalam Natasya dan aku pergi ke jualan gudang Times di Plaza Damas, Mont Kiara. Dalam perjalanan ke sana, hujan turun. Kadang-kadang lebat, kadang-kadang rintik-rintik. Sudah lama tidak mengunjungi jualan gudang/murah buku jadi semalam semacam pelepas gian; sakit kaki dan pinggang aku setelah selesai memeriksa setiap meja yang habis dilitupi buku. Semalam aku memburu novel-novel fiksyen sains dan yang dikarang oleh penulis Jepun. Daripada ribuan buku yang ada, aku cuma beli 3 buah buku saja (pokai!). Lagipun sekarang aku dah sedar (!) yang membeli buku dengan banyak tak akan memastikan aku akan membacanya. Jadi baik aku beli yang akan dibaca saja.

Jadi, kerugian semalam dihabiskan membeli:

Peter Carey, Wrong In About Japan

Strangers, Taichi Yamada

Expedition to Earth, Arthur C. Clarke

Jadi apa yang aku sasarkan terbidik jua. 1 buku fiksyen sains dan satu buku penulis Jepun. Aku beli buku Strangers sebab di depannya ada blurb dari Bret Easton Ellis. Secara automatik saja aku masukkan buku tu dalam bakul. Wrong In About Japan aku beli kerana ia bercerita tentang pengalaman penulis dan anaknya, Charley yang berusia 12 tahun di Jepun (ya, aku teruja dengan budaya Jepun yang unik dan selalunya pelik). Dan Arthur C. Clarke aku beli sebab, Arthur C. Clarkelah, apa lagi.

Aku selesai membaca Wrong In About Japan hari ni. Entah hantu mana yang masuk dalam badan, atau buku tu menyentuh tema yang amat dekat dan menarik minat aku, jadi bacaan aku laju saja. Ada petikan-petikan yang menarik dalam ini, dan juga perbincangan yang menarik dengan otaku dan juga pengarah-pengarah anime yang terkenal. Carey dapat berjumpa Tomino dan Miyazaki, dua pengarah tersohor di Jepun. Ia adalah masa yang tepat juga untuk aku membaca buku ini kerana Komikoo #6 adalah isu yang memfokuskan kepada stail manga, jadi ada beberapa fakta yang aku rasa patut diletakkan dalam nota editorial nanti.

Hari ini hujan amat lebat. Jadi tak terasa sangat penat berpuasa.

Tinggalkan komen