The Last of the Famous International Playboy – Bahagian II

“Boleh gua hisap rokok?” dia tanya Kamal.

“Eh sila-sila dude. Lu, macam tak biasa dengan gua,” sambil bercakap, tangan Kamal menekan punat tingkap automatik yang terletak di antara mereka berdua. Selari dengan tindakannya itu, tingkap di sebelah dia menggelungsur turun, perlahan tetapi konsisten.

“Terima kasih. Lu memang best!” Dia pandang Kamal, tersengih sambil mengunjukkan tangan kanannya yang membuat simbol bagus.

Rokok Dunhill yang sebatang itu diselitkan di bibir dan dinyalakan. Dia mula mengepam, menarik dan menghembus. Lagu Melayu yang berkumandang bersilih ganti di corong radio di selang seli dengan suara DJ bertugas. Heh, dia tersenyum sendiri. Tiada satu lagu pun yang lazim baginya. Lagipun, suara DJ ketika itu seperti menyiat-nyiat gegendang telinganya. Tak sedap langsung! Ah, tapi bukan suara yang jadi ukuran untuk para DJ zaman ini. Yang penting mereka cantik, tampan, berketrampilan dan ada karisma. Tiba-tiba dia rasa rindu dengan Patrick Teoh. Dan Zainal Din Zainal. Dan Prema. Dan Noramin. Dia tersenyum lagi.

Kamal sedang tekun memandu ketika dia mengilaskan pandangan ke arahnya. Sedih betul riak wajah Kamal. Kesuraman dan kesedihan hatinya seakan menerobosi setiap liang roma yang ada di tubuhnya, membuatkan dia yang duduk di sebelah turut terasa apa yang dirasai oleh Kamal.

Dia mahu menegur Kamal, mengajaknya berbual tetapi sesi terapi akan bermula selepas mereka makan malam nanti.

Ya, sesi terapi. Sesi terapi yang terakhir untuk Kamal.

Dia tidak pernah Kamal sebelum ini. Sama seperti Kamal tidak pernah mengenalinya. Seperti pelanggannya yang lain, Kamal pertama kali menegurnya di perisian IM, 2 bulan yang lepas.

Nikmat?

Mesej masuk dari ID pengguna bernama kamalb. Waktu itu 2.30 pagi. Dia berada dalam bilik, masih belum tidur. Komputer ribanya terpasang menemaninya di atas katil dan dia ketika itu sedang berada di atas syurga dunia. Di awang-awangan selepas 2 dapur ganja yang diperolehi daripada kaki di flat Kampung Baru. Dia langsung tidak perasan tetingkap kamalb muncul di papan muka komputernya. Dia tersadai atas katil melayan perasaan sambil memandang siling. Lagipun, hari itu adalah hari cutinya daripada melayan sebarang pelanggan.

BUZZ!
BUZZ!
BUZZ!

Puas kamalb menekan butang BUZZ berulangkali tetapi tidak dilayan kerana waktu itu dia sudah terlena di atas tilam empuknya. Bergegar-gegar tetingkap IM kamalb dan berdenting-denting bunyi yang mengiringi aksi BUZZ itu. Tetapi, dia terus lena. Tidak terjaga langsung.

Namun, harapan datang menghulurkan tangannya kepada kamalb waktu kali terakhir butang BUZZ ditekan.

BUZZ!

Bunyi dentingan terakhir dari tetingkap IM kamalb kali ini berbunyi seperti tepukan tangan yang maha kuat di sebelah telinga dia yang sudah berdengkur.

PAP!

Berdesing telinga dia. Terus terjaga dari lena. Dia buka mata, terpisat-pisat, dengan perasaan sedikit gembira kerana masih hidup dan belum tercabut nyawanya. Dia terus bangkit dari pembaringan. Ketika inilah dia nampak tetingkap kamalb berkelip-kelip di monitor komputer ribanya. Dia mendekatkan matanya ke skrin monitor dan memeriksa tetingkap asing yang wujud di depannya sekarang.

kamalb.

Ya, dia pasti pengguna dengan ID kamalb inilah punca dia terjaga dari tidurnya.

Nikmat?

Sekali lagi mesej dari kamalb tertera di tingkap IMnya. Waktu ini, dia sudah segar sedikit. Pandangannya sudah jelas. Dia menggerak-gerakkan tangan di depan monitor seakan melakukan senaman. Dia berfikir sebentar sama ada mahu menjawab panggilan kamalb kerana hari ini hari cutinya tetapi belum sempat keputusan dibuat, tangannya sudah mula menari di atas papan kekunci komputer ribanya.

Ya?

kamalb diam. Tiada jawapan. Ceh, takde pulak. Penat gua jawab. Si… baru dia hendak menghabiskan carutannya, tertera di bawah tetingkap IM kamalb – kamalb is typing a message.

Dia tunggu mesej yang akan masuk daripada kamalb. Seketika kemudian, dia membaca mesej yang dihantar oleh kamalb di tetingkap IMnya.

Ini Nikmat, si pengumpul rasa?

Bersambung…

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: