The Last of The Famous International Playboy

Telefon bimbitnya berdering, melagukan irama The Last of The Famous International Playboy dendangan penyanyi kegemarannya, Morrissey. Jam di dinding menunjukkan pukul 6.15 petang, waktu libur sementara baginya selepas lapan jam memerah otak menyelesaikan tugasannya pada hari itu.

Tatkala telefonnya itu berbunyi, dia sedang rancak berbual dengan seorang teman wanita di perisian instant messengernya. Tangannya berhenti menari di atas papan kekunci. Tangan kiri segera mencapai telefon yang terletak sehasta cuma di atas meja kerja dan memeriksa nama yang tertera di skrin.

Kamal.

Dia menekan butang jawab sebelum melekapkan telefon itu ke telinga kirinya.

“Gua dah sampai. Kat bawah. Office kau warna coklat ni kan?” suara parau Kamal kedengaran di hujung talian.

“Ok. Gua turun sekarang,” balasnya ringkas kerana dia sememangnya sedang menanti ketibaan Kamal. Mereka sememangnya sudah berjanji untuk berjumpa untuk makan malam bersama-sama hari ini.

Dia memutuskan talian dengan butang tamat dan kembali menyelenggarakan kembali matanya ke arah skrin monitor komputer di hadapannya. Di tetingkap si teman wanita yang dia rancak berbual sebelum Kamal menelefon dia menaip – my friend is here. talk to you later. smiley senyum – dan menekan butang enter. Dia ke tetingkap utama perisian IM itu, pergi ke ruangan status dan mengubah statusnya dari Available kepada Stepped Out dengan tanda merah berpalang putih, memberitahu kesemua rakan-rakan yang berada dalam senarainya yang dia tidak ada, jangan menghantar sebarang mesej kerana ia tidak akan dilayan.

Selesai tugas itu, dia tunggu sebentar. Tiada mesej yang masuk. Berpuas hati, dia bangun mencapai kotak rokok Dunhill 14, pemetik api, telefon bimbit yang berserakan di atas meja kerja dan dimasukkan rapi-rapi ke dalam poket kiri dan kanan seluar khakis coklat perang yang dikenakannya hari itu.

Sebelum berjalan keluar dari pejabat, dia berpesan pada rakannya yang dia keluar makan sebentar, dengan Kamal, dan akan kembali semula memeriksa timbunan FA yang masih berada dalam proses produksi di bahagian grafik. Rakannya, dengan mata merah, entah kerana terlalu lama mengadap monitor komputer atau baru saja lepas melayan balut, mengangguk-angguk. Dia berlalu pergi selepas itu.

Sampai di bawah, dia berjalan laju meninggalkan lobi bangunan yang mana pejabatnya terletak di tingkap 18. Matanya meliar mencari kelibat kereta Kamal bila mana kakinya mencecah perkarangan pintu masuk bangunan itu.

HON!!

Bunyi hon yang datang menerajang gegendang telinga kirinya secara automatik memutarkan kepalanya ke sebelah kiri. Kereta Kamal tersergam di ruang lingkup pandangannya. Dari tingkap sebelah pemandu, terjulur tangan yang dibaluti kemeja lengan panjang berjalur menegak yang dilipat separuh, melambai-lambai ke arahnya. Dia tersenyum, mengangkat tangan membalas lambaian Kamal seperti berkata hi, gua nampak lu tunggu kejap dan membuka langkah, besar-besar menuju ke kereta itu.

“Sorry dude, gua lambat. Ada urusan yang gua bereskan kejap tadi, ” katanya sebaik saja menetapkan punggung di kerusi penumpang di sebelah Kamal. Kamal senyum menyeringai walaupun senyum itu tidak dapat menutup kesuraman yang sedang membaluti dalam hatinya.

“Takpe, bukannya lama pun.”

Dia tersenyum. Dalam kereta Kamal berkumandang lagu Melayu terkini dari stesen radio yang sedang meletup-letup di kalangan pendengar saluran Melayu. Dia cuba mengenal pasti tajuk lagu yang sedang didendangkan oleh suara lunak penyanyi wanita namun gagal. Lagu itu terasa asing benar untuk halwa telinganya. Penghawa dingin menderu kuat berselang-seli dengan bunyi enjin kereta Kamal yang bising, entah berapa lama tak servis, katanya dalam hati.

“Mau makan mana ni?” tanya Kamal.

“Bangsar. Area Lucky Garden sana. Gua bawak lu tempat yang gua selalu dinner.” Kamal mengangguk saja, setuju.

Bersambung…

2 Respons to “The Last of The Famous International Playboy”

  1. Nizam Zakaria Says:

    Reading this is much better than reading cerpen entah apa-apa yang keluar kat Utusan atau Berita Harian tu semua. They are unreadable and so last century.

    Keep it real.

  2. Cepat, sambung…

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: