Cirit Otak

5 minit sebelum jam 6 petang, Jumaat, 02 November 2007.

Aku mahu pulang awal tapi sebab sudah berjanji sama Kak Long nak ambik dia di pejabat selepas pulang dari Genting Highlands. Yang kemudian mengingatkan aku yang hari ini adalah hari Jumaat, hari malang buat pengguna jalanraya di Kuala Lumpur kerana jalan-jalan utama pasti sesak.

Dalam masa senggang menanti waktu tu aku bertindak membuka satu lagi blog untuk berprosa. Itupun atas nasihat seorang rakan. Pengalaman memiliki blog di masa lalu masih kekal dalam ingatan di mana rasa ingin tahu tentang siapa yang membaca blog selalu saja menghantui diri. Tapi sekarang mungkin rasa itu sudah kurang. Kurang bukan takde terus.

Jadi di sini aku bercadang menulis prosa-prosa tentang apa apa yang melintas dalam kepala aku. Tak kiralah bahasa apa. Setakat ni, aku cuma tahu Bahasa Malaysia dan Inggeris. Jepun aku cuba belajar tapi otak terlalu dungu nak menangkap ejaan-ejaan katakana berselang- seli kanji. Tak kiralah apa saja. Fantasi, misteri, sosiologi, falsafah, fiksyen, separa-fiksyen, onani emosi dan sebagainyalah.

Biarkan semua idea-idea itu, walau bodoh macam mana sekali pun keluar, memancut, macam cirit. Kau orang tahukan sakit cirit-birit. Bila dah sakit sangat, tak sempat duduk atas mangkuk tandas, mencicit-cicit keluar hampas perut. Macam air paip mencurah diiringi angin-angin kentut yang memeningkan diri sendiri.

Sebab itulah blog ni aku namakan cirita. Bersempena cirit birit yang selalu menjangkiti diri aku jika salah makan atau lewat makan.

Tetapi cirit kali ini secara harfiahnya adalah prosa-prosa yang secara metafora mempunyai sifat fizikal cirit yang akan cuba aku tulis tanpa sebarang self-censorship dan paling penting, ditulis mengikut perspektif dan pandangan aku. Harapnya tulisan aku tak mencapai tahap mangkuk tandas hendaknya.

Okay, sudah. 6.15 petang. 45 minit lagi sebelum Kak Long aku sampai ke Jusco Maluri. Aku harap dia ingat nak belikan aku kopi Starbuck yang tiba-tiba aku kepingin mahu minum.

Selamat berdansa semua dalam pentas hidup.

Komentar ditutup.

%d bloggers like this: