Kopi Sama, Rasa Lain

Ogos 13, 2008

Aneh bila kopi yang kau minum setiap hari; warna dan aroma yang sama hari ini memberikan rasa yang teramat lain. Oh well, shit happens.

Di satu sisi yang lain, aku terjumpa sebuah blog melalui The Bad Signal, yang digunakan oleh pemiliknya, Siege sebagai sebuah buku nota kerja (working notebooks). Aku masih belum habis meniliknya tapi ini yang ditulis oleh Ellis berkenaan blog itu.

Siege, at http://claytoncubitt.tumblr.com , uses a tumblelog
as a working notebook. It’s not just a dumping ground for his
links — as a photographer, he stuffs it with test images,
reference work, scans, video, pieces of text with meaning to
him and jotted thoughts. It’s an interesting approach for a
blog — an online notebook. You could almost consider it a
backchannel or shoebox to an actual blog. Getting a bunch
of creative people to do their notebooks, rather than their
blogs, would be interesting, and it wouldn’t just be linkblogging.

Ia adalah sebuah idea yang bagus. Aku pernah baca tulisan Cory Doctorow berkenaan hal ini – dia menggunakan blognya untuk menyimpan dan memaut setiap pautan yang berguna untuk diri dan pembacanya walaupun ini tidak sama dengan apa yang dilakukan oleh Siege. Pautan artikelnya di sini.

Selamat minum kopi.


Berabuk

Ogos 12, 2008

Aku mengemaskini kesekian kalinya blog Cirita yang sudah berabuk ini. Kalau diumpamakan ia sebagai rumah, habuknya sudah berkati dan sarang labah-labah berserakan di sana sini.

Aku sedang membaca The Malayan Trilogy tulisan Burgess dan buku itu banyak mengundang tawa ketika membacanya. Banyak yang dicoretkan oleh Burgess masih relevan dengan situasi masa sekarang tetapi aku masih belum habis membaca, masih lagi terkial-kial dengan bab Time of a Tiger untuk memberikan 2 sen aku berkenaan buku ini.

Oh, aku petik satu dialog ketika Victor Crabbe sedang berdiskusi dengan muridnya tentang Revolusi Industri tentang bagaimana mesin sebenarnya membantu kita untuk mendapatkan lebih masa santai. Ini membawa kepada satu persoalan, yang diajukan oleh seorang murid Melayu, kerana di kampung tidak ada mesin. Persoalannya berbunyi begini:

“But, sir, in the kampongs they have no machines but they have a lot of leisure. They sit in the sun and do no work and they are happy. I do not see how machines can give leisure.

Haha.

Tapi sekarang kita yang dikawal oleh mesin. Tertinggal telefon bimbit saja membuatkan kita pening kepala. Ataupun kalau tak dapat login internet. Atau siaran Astro tergendala disebabkan hujan. Haih.

Juga aku menghabiskan After Dark tulisan Murakami. Entah kenapa kali ini Murakami kurang mengugah jiwa aku. Aku tak berapa rasa dengan ceritanya; malah situasi surealis yang dialami oleh Eri Asai tidak mengajak aku untuk sama-sama terjun berfantasi. Malah tidak ada satu watak yang betul-betul menggengam nurani ini tetapi aku masih tetap menghabiskannya. Ah, tapi masih banyak lagi buku Murakami yang aku masih belum baca. Takpe, nanti nanti.

Ah, harapnya kiriman ini adalah pemecah kepada kiriman tulisan yang seterusnya. Aku suka idea Warren Ellis yang menulis apa yang terlintas di fikirannya – kolum itu dinamakan Collecting Stray Thoughts dalam laman webnya – dan cuba untuk berbuat sebegitu tetapi kebanyakan masanya fikiran aku kosong ataupun apa yang aku fikir agak kinky atau tidak relevan untuk aku tuliskan but yeah, for today aku sedang merangka sebuah cerita komik yang berkaitan dengan dunia kayangan dan jin dan peri dan mambang. Which is interesting. Dan aku tahu makna perkataan indera, selain daripada dewa di kayangan iaitu memberi bentuk or something like that.

Nota untuk diri: Perkataan yang harus aku ingati – impoverished, hoodwink, neophyte, dread.


Rambo 4, John Rambo

Februari 24, 2008

Aku pergi menonton Rambo 4 yang mengikut kata Sly adalah penutup bagi francais Rambo hari ini. Selesai menonton, aku sedar yang Rambo sebenarnya adalah anak orang kaya yang memilih kesengsaraan untuk mencari pengertian dirinya sendiri.

Self discovery.

Lepas selesai menghancurkan segerombolan tentera Burma, demi Tuhan aksi tembak-menembaknya memang ngeri nak mampus; penuh percikan darah, kepala pecah, anggota badan berderai, usus terkeluar dan sebagainya, dia pulang ke ladang bapaknya yang besar nak mampus!

Dan Michael, si Christian Missionary itu akhirnya sedar yang bukannya Tuhan yang menyelamatkan dia dan rakannya, tetapi John Rambo dan sekumpulan askar upahan. :) .


2 0 2 0 (bukan nombor 4digit)

Februari 22, 2008

Hari ini ketika aku membaca artikel tentang debat yang berlangsung antara Obama dan Clinton, terpacul 4 nombor yang satu ketika dulu amat popular dan tidak henti meniti dari bibir ke bibir setiap manusia di Malaysia tidak kira kanak-kanak, dewasa atau tua.

 

2 0 2 0.

 

Yeah, bukan nombor untuk ditikam di kedai 4digit. Tetapi satu wawasan yang dicipta oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada tahun 1991 17 tahun dahulu ketika aku sendiri belum akil baligh lagi.

 

Hari ini entah kenapa aku teringat pasal 2020. Mungkin pasal 3 tahun di penghujung sekolah menengah, aku terpaksa menyanyi lagu Wawasan 2020 pada perhimpunan setiap hari Isnin. Ataupun sebenarnya 12 tahun lagi, kita akan sampai juga pada tahun 2020 yang diidamkan itu.

 

Mungkin. 12 tahun bukannya lama.

 

Sekarang ini, entah berapa kerat sangat yang masih ingat lagi tentang Wawasan 2020. Ia dah pudar dari ingatan masyarakat seperti dinding rumah yang uzur dimamah iklim khatulistiwa panas dan lembab sepanjang tahun negara kita.

 

Aku sendiri sudah lupa, kalau bukan kerana terbaca pasal Obama dan Clinton pagi tadi.


The Last of the Famous International Playboy – Bahagian II

Februari 20, 2008

“Boleh gua hisap rokok?” dia tanya Kamal.

“Eh sila-sila dude. Lu, macam tak biasa dengan gua,” sambil bercakap, tangan Kamal menekan punat tingkap automatik yang terletak di antara mereka berdua. Selari dengan tindakannya itu, tingkap di sebelah dia menggelungsur turun, perlahan tetapi konsisten.

“Terima kasih. Lu memang best!” Dia pandang Kamal, tersengih sambil mengunjukkan tangan kanannya yang membuat simbol bagus.

Rokok Dunhill yang sebatang itu diselitkan di bibir dan dinyalakan. Dia mula mengepam, menarik dan menghembus. Lagu Melayu yang berkumandang bersilih ganti di corong radio di selang seli dengan suara DJ bertugas. Heh, dia tersenyum sendiri. Tiada satu lagu pun yang lazim baginya. Lagipun, suara DJ ketika itu seperti menyiat-nyiat gegendang telinganya. Tak sedap langsung! Ah, tapi bukan suara yang jadi ukuran untuk para DJ zaman ini. Yang penting mereka cantik, tampan, berketrampilan dan ada karisma. Tiba-tiba dia rasa rindu dengan Patrick Teoh. Dan Zainal Din Zainal. Dan Prema. Dan Noramin. Dia tersenyum lagi.

Kamal sedang tekun memandu ketika dia mengilaskan pandangan ke arahnya. Sedih betul riak wajah Kamal. Kesuraman dan kesedihan hatinya seakan menerobosi setiap liang roma yang ada di tubuhnya, membuatkan dia yang duduk di sebelah turut terasa apa yang dirasai oleh Kamal.

Dia mahu menegur Kamal, mengajaknya berbual tetapi sesi terapi akan bermula selepas mereka makan malam nanti.

Ya, sesi terapi. Sesi terapi yang terakhir untuk Kamal.

Dia tidak pernah Kamal sebelum ini. Sama seperti Kamal tidak pernah mengenalinya. Seperti pelanggannya yang lain, Kamal pertama kali menegurnya di perisian IM, 2 bulan yang lepas.

Nikmat?

Mesej masuk dari ID pengguna bernama kamalb. Waktu itu 2.30 pagi. Dia berada dalam bilik, masih belum tidur. Komputer ribanya terpasang menemaninya di atas katil dan dia ketika itu sedang berada di atas syurga dunia. Di awang-awangan selepas 2 dapur ganja yang diperolehi daripada kaki di flat Kampung Baru. Dia langsung tidak perasan tetingkap kamalb muncul di papan muka komputernya. Dia tersadai atas katil melayan perasaan sambil memandang siling. Lagipun, hari itu adalah hari cutinya daripada melayan sebarang pelanggan.

BUZZ!
BUZZ!
BUZZ!

Puas kamalb menekan butang BUZZ berulangkali tetapi tidak dilayan kerana waktu itu dia sudah terlena di atas tilam empuknya. Bergegar-gegar tetingkap IM kamalb dan berdenting-denting bunyi yang mengiringi aksi BUZZ itu. Tetapi, dia terus lena. Tidak terjaga langsung.

Namun, harapan datang menghulurkan tangannya kepada kamalb waktu kali terakhir butang BUZZ ditekan.

BUZZ!

Bunyi dentingan terakhir dari tetingkap IM kamalb kali ini berbunyi seperti tepukan tangan yang maha kuat di sebelah telinga dia yang sudah berdengkur.

PAP!

Berdesing telinga dia. Terus terjaga dari lena. Dia buka mata, terpisat-pisat, dengan perasaan sedikit gembira kerana masih hidup dan belum tercabut nyawanya. Dia terus bangkit dari pembaringan. Ketika inilah dia nampak tetingkap kamalb berkelip-kelip di monitor komputer ribanya. Dia mendekatkan matanya ke skrin monitor dan memeriksa tetingkap asing yang wujud di depannya sekarang.

kamalb.

Ya, dia pasti pengguna dengan ID kamalb inilah punca dia terjaga dari tidurnya.

Nikmat?

Sekali lagi mesej dari kamalb tertera di tingkap IMnya. Waktu ini, dia sudah segar sedikit. Pandangannya sudah jelas. Dia menggerak-gerakkan tangan di depan monitor seakan melakukan senaman. Dia berfikir sebentar sama ada mahu menjawab panggilan kamalb kerana hari ini hari cutinya tetapi belum sempat keputusan dibuat, tangannya sudah mula menari di atas papan kekunci komputer ribanya.

Ya?

kamalb diam. Tiada jawapan. Ceh, takde pulak. Penat gua jawab. Si… baru dia hendak menghabiskan carutannya, tertera di bawah tetingkap IM kamalb – kamalb is typing a message.

Dia tunggu mesej yang akan masuk daripada kamalb. Seketika kemudian, dia membaca mesej yang dihantar oleh kamalb di tetingkap IMnya.

Ini Nikmat, si pengumpul rasa?

Bersambung…


The Last of The Famous International Playboy

Februari 17, 2008

Telefon bimbitnya berdering, melagukan irama The Last of The Famous International Playboy dendangan penyanyi kegemarannya, Morrissey. Jam di dinding menunjukkan pukul 6.15 petang, waktu libur sementara baginya selepas lapan jam memerah otak menyelesaikan tugasannya pada hari itu.

Tatkala telefonnya itu berbunyi, dia sedang rancak berbual dengan seorang teman wanita di perisian instant messengernya. Tangannya berhenti menari di atas papan kekunci. Tangan kiri segera mencapai telefon yang terletak sehasta cuma di atas meja kerja dan memeriksa nama yang tertera di skrin.

Kamal.

Dia menekan butang jawab sebelum melekapkan telefon itu ke telinga kirinya.

“Gua dah sampai. Kat bawah. Office kau warna coklat ni kan?” suara parau Kamal kedengaran di hujung talian.

“Ok. Gua turun sekarang,” balasnya ringkas kerana dia sememangnya sedang menanti ketibaan Kamal. Mereka sememangnya sudah berjanji untuk berjumpa untuk makan malam bersama-sama hari ini.

Dia memutuskan talian dengan butang tamat dan kembali menyelenggarakan kembali matanya ke arah skrin monitor komputer di hadapannya. Di tetingkap si teman wanita yang dia rancak berbual sebelum Kamal menelefon dia menaip – my friend is here. talk to you later. smiley senyum – dan menekan butang enter. Dia ke tetingkap utama perisian IM itu, pergi ke ruangan status dan mengubah statusnya dari Available kepada Stepped Out dengan tanda merah berpalang putih, memberitahu kesemua rakan-rakan yang berada dalam senarainya yang dia tidak ada, jangan menghantar sebarang mesej kerana ia tidak akan dilayan.

Selesai tugas itu, dia tunggu sebentar. Tiada mesej yang masuk. Berpuas hati, dia bangun mencapai kotak rokok Dunhill 14, pemetik api, telefon bimbit yang berserakan di atas meja kerja dan dimasukkan rapi-rapi ke dalam poket kiri dan kanan seluar khakis coklat perang yang dikenakannya hari itu.

Sebelum berjalan keluar dari pejabat, dia berpesan pada rakannya yang dia keluar makan sebentar, dengan Kamal, dan akan kembali semula memeriksa timbunan FA yang masih berada dalam proses produksi di bahagian grafik. Rakannya, dengan mata merah, entah kerana terlalu lama mengadap monitor komputer atau baru saja lepas melayan balut, mengangguk-angguk. Dia berlalu pergi selepas itu.

Sampai di bawah, dia berjalan laju meninggalkan lobi bangunan yang mana pejabatnya terletak di tingkap 18. Matanya meliar mencari kelibat kereta Kamal bila mana kakinya mencecah perkarangan pintu masuk bangunan itu.

HON!!

Bunyi hon yang datang menerajang gegendang telinga kirinya secara automatik memutarkan kepalanya ke sebelah kiri. Kereta Kamal tersergam di ruang lingkup pandangannya. Dari tingkap sebelah pemandu, terjulur tangan yang dibaluti kemeja lengan panjang berjalur menegak yang dilipat separuh, melambai-lambai ke arahnya. Dia tersenyum, mengangkat tangan membalas lambaian Kamal seperti berkata hi, gua nampak lu tunggu kejap dan membuka langkah, besar-besar menuju ke kereta itu.

“Sorry dude, gua lambat. Ada urusan yang gua bereskan kejap tadi, ” katanya sebaik saja menetapkan punggung di kerusi penumpang di sebelah Kamal. Kamal senyum menyeringai walaupun senyum itu tidak dapat menutup kesuraman yang sedang membaluti dalam hatinya.

“Takpe, bukannya lama pun.”

Dia tersenyum. Dalam kereta Kamal berkumandang lagu Melayu terkini dari stesen radio yang sedang meletup-letup di kalangan pendengar saluran Melayu. Dia cuba mengenal pasti tajuk lagu yang sedang didendangkan oleh suara lunak penyanyi wanita namun gagal. Lagu itu terasa asing benar untuk halwa telinganya. Penghawa dingin menderu kuat berselang-seli dengan bunyi enjin kereta Kamal yang bising, entah berapa lama tak servis, katanya dalam hati.

“Mau makan mana ni?” tanya Kamal.

“Bangsar. Area Lucky Garden sana. Gua bawak lu tempat yang gua selalu dinner.” Kamal mengangguk saja, setuju.

Bersambung…


Lari

Januari 14, 2008

Sekarang dalam jam 6 lebih pasti aku dah terjaga. Orang-orang tua cakap, bangun pagi awet muda. Kalau terus mandi, lemak kau boleh terbakar. Tapi aku bangun bukan atas sebab-sebab tu. Aku kalau dah terjaga, aku tak boleh nak tidur balik. Jadi aku bangun, turun bawah dan makan spirulina yang kakak aku bawa dari Jepun.

Lepas dah jalankan tanggungjawab sebagai manusia, aku pun sarungkan seluar pendek tiga suku Mueller warna biru dan stokin dan kasut jogging. Aku mahu berlari. Keluarkan peluh. Lagipun, lemak-lemak terkumpul kat bahagian perut aku ni dah makin banyak. Dah menggelebeh. Aku tengok pun naik ngeri.

Memanglah orang kata kau patut bersyukur dengan apa yang kau dah ada. Memang aku dah okay dengan badan aku yang tak boleh dah nak turun tapi dengan perut ni, aku bila masukkan baju tak nampak kacak. Nampak selekeh. Seluar atau sampin yang aku pakai bawah sikit dari pusat mesti akan turun juga lepak bawah lengkong perut aku. Jadi mahu tak mahu kena jaga sikit pertumbuhan perut aku ni. Kalau perut aku ni selari dengan kencangnya pertumbuhan ekonomi, mungkin aku dah kaya sekarang.

Masa aku keluar rumah, jam sudah menunjukkan pukul 7.10 minit pagi. Sekarang ni pukul 7 pun belum tentu cerah. Langit masih ada palitan kirmizi. Kelam dan berbalam. Matahari pun tak naik. Aku risau kalau hujan je. Payah nanti nak terkejar-kejar balik. Ataupun kemunculan kelibat anjing.

Hari ni masa aku sampai kat taman perumahan tu, ia masih lagi kosong. Takde lagi mak cik makcik tua yang sudah mula berjalan. Aku pun masuh ke dalam trek larian. Trek ni dia berpusing dalam bulatan jadi selalunya dalam 5 pusingan je aku dah bosan. Takde nafsu nak lari lagi. Sepatutnya aku kena lari setengah jam untuk membakar 300 kalori tapi ni bukanlah treadmill. Kalau berlari atas treadmill, kadar pembakaran kalori kau akan ditunjukkan pada paparan digital yang ada di papan kendalian treadmill tu.

Aku mulakan larian. Masa jogging bagi aku adalah masa untuk berlari sambil membiarkan fikiran menerawang jauh. Pagi ni aku banyak jugak fikir merepek. Contohnya konsep ketuhanan. Konsep mengidolakan sesuatu. Rasanya sekarang ni selain Tuhan, banyak juga lagi benda yang dah diangkat menjadi Tuhan. Yang dah dipuja. Jadi soal sembah atau tak sudah tiada. Kalau kau tak sembah Tuhan, pasti ada benda lain yang kau sembah, secara harfiahnya. Yang kau percaya dan kau yakin dengan benda tu walaupun kau taklah mengaku yang kau menyembahnya. Benda ni berputar dalam otak aku masa aku berlari. Ia tak konkrit. Ia cuma ada tika itu untuk aku fikirkan. Jadi aku pun layan. Lepas aku terfikir benda ni, dalam turun naik nafas aku yang semput, aku tengok awan. Aku tengok ia macam tempekan warna-warna pastel putih dan kelabu yang ditenyeh pada kanvas berwarna biru. Aku renung dan terfikir bait-bait sajak yang boleh lahir. Ah, rasanya aku pernah tulis pasal awan dan langit. Lepas tu aku fikir pasal trek larian tu macam mana ia mewakili kehidupan kita. Macam mana matlamat 5 pusingan aku pagi tu sebenarnya adalah gambaran kecil apa yang aku perlu capai dalam hidup. Cukup 3 pusingan, aku buat bangkit tubi. Sambung lagi berlari dalam 2 pusingan dan lepas tu, aku warm down dan balik.

Sampai rumah, aku makan telur setengah masak sebiji. Lepas tu bedal cekodok cicah kari dengan sambal sotong sampai kenyang. Esok aku kena lari lebih dari 5 pusingan.


Tekan Tubi dalam Tidur

Januari 3, 2008

Waktu tidur-tidur ayam pagi ini – bantal menekup muka, mata tertutup tapi masih belum terputus hubungan dengan dunia realiti – tiba-tiba aku teringat yang aku harus melakukan senaman bangkit tubi demi mengempiskan perut yang semakin berkembang ke hadapan dan ke tepi.

Secara spontan, perut aku memberi refleks terhadap apa yang aku fikirkan. Tak semena-mena, dalam keadaan mengiring, aku membengkokkan sedikit perut seperti sedang membuat senaman itu dengan mata tertutup.

Aku tersenyum sendiri bila buka mata. Cilakak!


Pandu Cermat Jiwa Selamat

November 19, 2007

Waktu kau masukkan dan pulas kunci di ignition kereta, kau telah menandatangani satu perjanjian virtual yang memungkinkan kau akan 1) berasa marah 2) memaki hamun 3) bersikap racist 4) mati.

Ya, memandu sekarang bukannya menawarkan satu pengalaman yang menyenangkan. Ia boleh menjadi satu mimpi ngeri terutamanya di kota seperti Kuala Lumpur ni. Malah, ia boleh umpamakan memandu seperti masuk ke dalam medan perang. Nyawa kau terletak di hujung rambut, sama seperti ketika para ibu bertarung nyawa mahu melahirkan seorang anak. Kau kena sentiasa berwaspada dan bersedia dengan segala kemungkinan yang akan berlaku kerana bahaya berada di mana-mana. Kiri, kanan, atas dan bawah.

Medan perang dah tersedia. Kau bersama kelengkapan perang kau, iaitu kereta sebagai tunggangan, cermin sisi kiri dan kanan dan cermin depan sebagai panduan.  Senjata kau adalah akal fikiran dan kewarasan. kecekapan memaneuvre kereta adalah satu bonus tambahan. Kelima-lima deria kau harus digunakan sebaiknya bila perlu.

Di kiri dan kanan, kau akan dikelilingi musuh. Dan musuh-musuh ini juga datang dengan tunggangan masing-masing. Dan kau harus mengenalpasti jenis-jenis yang kau akan biasa temui.

Kau akan temui mereka yang merasakan diri mereka pelumba F1. Tunggangan mereka berjulat antara kereta buatan Nasional sama ada sedan atau economical dan kereta-kereta Jepun yang sudah diubah suai. Mereka yang memandu kereta mewah juga ada yang tergolong dalam kumpulan ini.

Ada juga mereka yang akan membawa tunggangan mereka pada takat 60km/j dan ke bawah dan duduk di lorong tengah atau lorong memandu laju.

Mereka yang menunggang lori dan pacuan 4 roda yang memandang rendah akan keupayaan tunggangan lain terutama yang kecil dan comel.

Mereka yang tak reti nak give and take, yang tak mau bagi orang lain jalan. Asyik dia orang kena jalan dulu.

Si pembuli jalan raya.

Penunggang motosikal yang tak reti nak menjaga keselamatan diri dan mengharapkan pemandu-pemandu lain yang jaga keselamatan diorang.

Mat Rempit.

Dan bermacam-macam lagi senarai musuh yang mungkin korang pernah temui. Apa yang aku tulis ni adalah di antara senarai-senarai yang aku sendiri aku pernah jumpa. Kedatangan diorang ni memang tak terjangka walaupun kau rasa kau dah memandu sehabis baik kau dah dengan mematuhi etika-etika dan kod-kod ketika berada di jalan raya. Tatkala mereka datang menyerang, takde apa yang boleh kau lakukan kecuali mencarut, memaki hamun dalam tingkap tertutup dan yang paling kuat membunyikan hon untuk memberitahu dia yang cara pemanduannya memang macam celaka!

Tak cukup dengan serangan dari kiri dan kanan daripada pemandu yang tahap akalnya boleh kau samakan dengan mangkuk hayun, kau juga harus berhati-hati dengan apa yang melata di bawah. Bukan, ia bukanlah tumbuhan tetapi lubang-lubang yang kerap tampil secara mengejut macam biskut kejap-ada-kejap-takde, kadang-kadang ia macam beranak-pinak dari satu lubang ke satu lubang yang lain.

Julat lubang juga amat besar. Ada yang kecik, separa besar dan besar nak mampus! Dan lubang-lubang nilah yang bakal menjahanamkan tayar korang. Kalau tak pancit, ia selalunya meranapkan balancing dan alignment yang korang terpaksa buat tiapkali menghantar kereta ke pusat servis. Lubang-lubang ni walaupun diberikan treatment, selalunya dalam bentuk tampal tangkap muat yang mana tampalannya akan berbukit, pasti akan berlubang semula dalam masa yang singkat.

Tak cukup bahaya lagi, serangan dari atas pun boleh berlaku walaupun kekerapannya tidaklah selalu. Perbandingannya umpama satu dalam sejuta. Ia boleh berlaku jika melalui kawasan construction di mana kau tak tahu apa yang akan dicampakkan daripada atas sana ke bawah. Aku bercakap berdasarkan pengalaman. Pada satu petang yang indah permai ketika dalam perjalanan bertemu rakan bagi satu mesyuarat, aku melalui satu flyover yang tak siap. Tak pasal-pasal tiba-tiba ada air menimpa cermin depan kereta aku.

Oleh sebab nak cepat, jalan yang sedang aku gunakan tu sibuk dan aku sangkakan cuma air biasa saja yang tersimbah dari atas tu, aku berkeputusan untuk biarkan saja. Tak pulak aku sangka apa yang jatuh tu sebenarnya simen cair! Gampang! Bila aku check, simen tu dah pun keras. Nasib baiklah boleh tanggal benda tu. Kalau tak, mampuslah kereta aku copak capik disebabkan oleh serangan daripada atas tu.

Semakin lama aku memandu di Kuala Lumpur, semakin sakit jiwa aku dibuat sebenarnya. Sorang member aku pernah cakap yang pemandu-pemandu di Kuala Lumpur ni…

- Artikel ini masih belum habis ditulis. Sekian terima kasih.


Aku

November 16, 2007

Semuanya bermula selepas aku dikecewakan lagi buat kali ke infiniti dalam usaha mencari teman wanita. Awek. Girlfriend. Marka dan sewaktu dengannya. Alasan gadis yang bernama Mastura ini ialah, “You terlalu baiklah untuk I.”

Waktu itu, aku berada di gerai cendol tepi lebuh raya MRR2 kawasan Taman Melawati. Kami, aku dan Mastura, duduk di salah satu meja yang disediakan oleh entepreneur cendol itu untuk para pelanggannya. Hari itu, mengikut perkiraan aku, adalah hari paling tepat untuk aku ajukan soalan ini, “So kita macam mana, kawan ke special?” kerana hari itu juga genap 6 bulan kami keluar secara serius.

Itupun bukannya saja-saja aku tanya. Aku selidik dulu sama dengan teman-teman yang terlebih dulu makan garam dalam bidang mencari cinta ini.

“6 bulan cepat sangat ke nak tanya dude?” Aku tanya Syful yang aku kenal dekat 12 tahun, sejak zaman hostel lagi.

“Ish, apa pulak cepat. Sedang eloklah tu,” dia kata.

Betul jugak, aku fikir. Kalau dah suka sama suka, masa bukanlah ukurannya. Jadi, aku bulatkan tekad untuk bertanya.

Jadi, aku pilih 28 Ogos. Kami berdua pergi ke majlis persandingan seorang teman persekolahan di Ampang. Aku ambik dia di rumah yang terletak di Klang Gate dengan Kancil 850cc berwarna Lilac. Mastura, atau Mas pakai baju kurung biru hari itu. Mak ai, cantik gila. Tak berkedip mata aku masa nampak dia turun tangga nak ke kereta aku. Sumpah masa tu aku rasa macam nak ajak dia kahwin sama aku.

“Jom kahwin?” aku kata. “Jom,” dia balas. Yay!

“Hah apa lagi? Jalan la.” Suaranya yang garang mematikan mimpi siang aku. Aku pun terus masuk gear Drive dan jalan. Dalam perjalanan tu, aku cuba serius sikit. Nak ambik mood. Agaknya aku dah terlebih serius sampai dia pun perasan dan tanya, “You ok ke? Diam je”. Aku cakap aku okey, takde apa-apa sambil penglihatan tertumpu pada jalan raya. Masa tu, dalam otak berselirat fikir strategi macam mana nak luahkan soalan tu nanti.

Dalam pada masa tu, aku kurangkan sikit tona serius dan cuba berlagak macam biasa. Macam takde apa-apa yang berlaku. Sampai kenduri tu, terus jumpa mak bapak pengantin, salam, bagi hadiah, makan, ambil gambar dengan pasangan raja sehari dan balik.

Dalam perjalanan balik dari Ampang ke Klang Gate, aku ajak dia pergi minum dulu. Dia setuju dan cadangkan pergi gerai cendol yang katanya sedap. Aku bersetuju dan ketika itulah aku luahkan pertanyaan yang sudah lama tersimpan dalam dada. Masa itu, Mastura duduk setentang dengan aku. Dia pegang tangan aku yang menggigil. Lidah aku kelu dan bibir menggeletar. Mata aku terasa berair tapi aku tahan biar jangan tumpah. Lelaki menangis, tak rocklah.

Sambil tenung mata dia dalam-dalam, sebab kata orang mata tak boleh menipu, aku tanya pada dia, “So kita ni macam mana, kawan ke special?” Dia tampak terkedu dengar soalan aku. Dia tarik nafas dalam-dalam, pandang muka aku dan jelaskan pada aku kenapa dia tak boleh terima aku lebih daripada kawan. Macam mana hati dia waktu itu sudah dingin dan keras seperti sebongkah ais yang terletak di Artik dan tak mungkin cair dalam masa terdekat. Yang luka perhubungan lalu masih belum sembuh sepenuhnya. Yang dia takut. Takut untuk bercinta dan juga takut dengan aku. Kenapa, aku tanya.

“You terlalu baiklah untuk I,” terpacul frasa tu dari mulut Mas.

Whatta —? Masa tu, masa bergerak dalam gerak perlahan. Aku nampak dengan jelas butir-butir ais jatuh berderaian, satu-satu dari mesin pengisar air batu yang dikendali oleh mamak jual cendol. Perkataan yang keluar dari mulut Mas dapat aku lihat pergerakan partikelnya. Abjad-abjad itu menelusup antara zarah-zarah udara, menghentam satu sama lain. Ketawa pelanggan lain bergema seperti dalam gua. Segala-galanya perlahan, hampir berhenti.

Dan semua ini berlaku dalam masa 30 saat. Waktu ini, kepala aku menangkap. Rasa berpinar sebentar.