Arkib bagi 'catatan'Kategori

Rambo 4, John Rambo

Februari 24, 2008

Aku pergi menonton Rambo 4 yang mengikut kata Sly adalah penutup bagi francais Rambo hari ini. Selesai menonton, aku sedar yang Rambo sebenarnya adalah anak orang kaya yang memilih kesengsaraan untuk mencari pengertian dirinya sendiri.

Self discovery.

Lepas selesai menghancurkan segerombolan tentera Burma, demi Tuhan aksi tembak-menembaknya memang ngeri nak mampus; penuh percikan darah, kepala pecah, anggota badan berderai, usus terkeluar dan sebagainya, dia pulang ke ladang bapaknya yang besar nak mampus!

Dan Michael, si Christian Missionary itu akhirnya sedar yang bukannya Tuhan yang menyelamatkan dia dan rakannya, tetapi John Rambo dan sekumpulan askar upahan. :).

2 0 2 0 (bukan nombor 4digit)

Februari 22, 2008

Hari ini ketika aku membaca artikel tentang debat yang berlangsung antara Obama dan Clinton, terpacul 4 nombor yang satu ketika dulu amat popular dan tidak henti meniti dari bibir ke bibir setiap manusia di Malaysia tidak kira kanak-kanak, dewasa atau tua.

 

2 0 2 0.

 

Yeah, bukan nombor untuk ditikam di kedai 4digit. Tetapi satu wawasan yang dicipta oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada tahun 1991 17 tahun dahulu ketika aku sendiri belum akil baligh lagi.

 

Hari ini entah kenapa aku teringat pasal 2020. Mungkin pasal 3 tahun di penghujung sekolah menengah, aku terpaksa menyanyi lagu Wawasan 2020 pada perhimpunan setiap hari Isnin. Ataupun sebenarnya 12 tahun lagi, kita akan sampai juga pada tahun 2020 yang diidamkan itu.

 

Mungkin. 12 tahun bukannya lama.

 

Sekarang ini, entah berapa kerat sangat yang masih ingat lagi tentang Wawasan 2020. Ia dah pudar dari ingatan masyarakat seperti dinding rumah yang uzur dimamah iklim khatulistiwa panas dan lembab sepanjang tahun negara kita.

 

Aku sendiri sudah lupa, kalau bukan kerana terbaca pasal Obama dan Clinton pagi tadi.

Lari

Januari 14, 2008

Sekarang dalam jam 6 lebih pasti aku dah terjaga. Orang-orang tua cakap, bangun pagi awet muda. Kalau terus mandi, lemak kau boleh terbakar. Tapi aku bangun bukan atas sebab-sebab tu. Aku kalau dah terjaga, aku tak boleh nak tidur balik. Jadi aku bangun, turun bawah dan makan spirulina yang kakak aku bawa dari Jepun.

Lepas dah jalankan tanggungjawab sebagai manusia, aku pun sarungkan seluar pendek tiga suku Mueller warna biru dan stokin dan kasut jogging. Aku mahu berlari. Keluarkan peluh. Lagipun, lemak-lemak terkumpul kat bahagian perut aku ni dah makin banyak. Dah menggelebeh. Aku tengok pun naik ngeri.

Memanglah orang kata kau patut bersyukur dengan apa yang kau dah ada. Memang aku dah okay dengan badan aku yang tak boleh dah nak turun tapi dengan perut ni, aku bila masukkan baju tak nampak kacak. Nampak selekeh. Seluar atau sampin yang aku pakai bawah sikit dari pusat mesti akan turun juga lepak bawah lengkong perut aku. Jadi mahu tak mahu kena jaga sikit pertumbuhan perut aku ni. Kalau perut aku ni selari dengan kencangnya pertumbuhan ekonomi, mungkin aku dah kaya sekarang.

Masa aku keluar rumah, jam sudah menunjukkan pukul 7.10 minit pagi. Sekarang ni pukul 7 pun belum tentu cerah. Langit masih ada palitan kirmizi. Kelam dan berbalam. Matahari pun tak naik. Aku risau kalau hujan je. Payah nanti nak terkejar-kejar balik. Ataupun kemunculan kelibat anjing.

Hari ni masa aku sampai kat taman perumahan tu, ia masih lagi kosong. Takde lagi mak cik makcik tua yang sudah mula berjalan. Aku pun masuh ke dalam trek larian. Trek ni dia berpusing dalam bulatan jadi selalunya dalam 5 pusingan je aku dah bosan. Takde nafsu nak lari lagi. Sepatutnya aku kena lari setengah jam untuk membakar 300 kalori tapi ni bukanlah treadmill. Kalau berlari atas treadmill, kadar pembakaran kalori kau akan ditunjukkan pada paparan digital yang ada di papan kendalian treadmill tu.

Aku mulakan larian. Masa jogging bagi aku adalah masa untuk berlari sambil membiarkan fikiran menerawang jauh. Pagi ni aku banyak jugak fikir merepek. Contohnya konsep ketuhanan. Konsep mengidolakan sesuatu. Rasanya sekarang ni selain Tuhan, banyak juga lagi benda yang dah diangkat menjadi Tuhan. Yang dah dipuja. Jadi soal sembah atau tak sudah tiada. Kalau kau tak sembah Tuhan, pasti ada benda lain yang kau sembah, secara harfiahnya. Yang kau percaya dan kau yakin dengan benda tu walaupun kau taklah mengaku yang kau menyembahnya. Benda ni berputar dalam otak aku masa aku berlari. Ia tak konkrit. Ia cuma ada tika itu untuk aku fikirkan. Jadi aku pun layan. Lepas aku terfikir benda ni, dalam turun naik nafas aku yang semput, aku tengok awan. Aku tengok ia macam tempekan warna-warna pastel putih dan kelabu yang ditenyeh pada kanvas berwarna biru. Aku renung dan terfikir bait-bait sajak yang boleh lahir. Ah, rasanya aku pernah tulis pasal awan dan langit. Lepas tu aku fikir pasal trek larian tu macam mana ia mewakili kehidupan kita. Macam mana matlamat 5 pusingan aku pagi tu sebenarnya adalah gambaran kecil apa yang aku perlu capai dalam hidup. Cukup 3 pusingan, aku buat bangkit tubi. Sambung lagi berlari dalam 2 pusingan dan lepas tu, aku warm down dan balik.

Sampai rumah, aku makan telur setengah masak sebiji. Lepas tu bedal cekodok cicah kari dengan sambal sotong sampai kenyang. Esok aku kena lari lebih dari 5 pusingan.

Tekan Tubi dalam Tidur

Januari 3, 2008

Waktu tidur-tidur ayam pagi ini - bantal menekup muka, mata tertutup tapi masih belum terputus hubungan dengan dunia realiti - tiba-tiba aku teringat yang aku harus melakukan senaman bangkit tubi demi mengempiskan perut yang semakin berkembang ke hadapan dan ke tepi.

Secara spontan, perut aku memberi refleks terhadap apa yang aku fikirkan. Tak semena-mena, dalam keadaan mengiring, aku membengkokkan sedikit perut seperti sedang membuat senaman itu dengan mata tertutup.

Aku tersenyum sendiri bila buka mata. Cilakak!

Cirit Otak

November 2, 2007

5 minit sebelum jam 6 petang, Jumaat, 02 November 2007.

Aku mahu pulang awal tapi sebab sudah berjanji sama Kak Long nak ambik dia di pejabat selepas pulang dari Genting Highlands. Yang kemudian mengingatkan aku yang hari ini adalah hari Jumaat, hari malang buat pengguna jalanraya di Kuala Lumpur kerana jalan-jalan utama pasti sesak.

Dalam masa senggang menanti waktu tu aku bertindak membuka satu lagi blog untuk berprosa. Itupun atas nasihat seorang rakan. Pengalaman memiliki blog di masa lalu masih kekal dalam ingatan di mana rasa ingin tahu tentang siapa yang membaca blog selalu saja menghantui diri. Tapi sekarang mungkin rasa itu sudah kurang. Kurang bukan takde terus.

Jadi di sini aku bercadang menulis prosa-prosa tentang apa apa yang melintas dalam kepala aku. Tak kiralah bahasa apa. Setakat ni, aku cuma tahu Bahasa Malaysia dan Inggeris. Jepun aku cuba belajar tapi otak terlalu dungu nak menangkap ejaan-ejaan katakana berselang- seli kanji. Tak kiralah apa saja. Fantasi, misteri, sosiologi, falsafah, fiksyen, separa-fiksyen, onani emosi dan sebagainyalah.

Biarkan semua idea-idea itu, walau bodoh macam mana sekali pun keluar, memancut, macam cirit. Kau orang tahukan sakit cirit-birit. Bila dah sakit sangat, tak sempat duduk atas mangkuk tandas, mencicit-cicit keluar hampas perut. Macam air paip mencurah diiringi angin-angin kentut yang memeningkan diri sendiri.

Sebab itulah blog ni aku namakan cirita. Bersempena cirit birit yang selalu menjangkiti diri aku jika salah makan atau lewat makan.

Tetapi cirit kali ini secara harfiahnya adalah prosa-prosa yang secara metafora mempunyai sifat fizikal cirit yang akan cuba aku tulis tanpa sebarang self-censorship dan paling penting, ditulis mengikut perspektif dan pandangan aku. Harapnya tulisan aku tak mencapai tahap mangkuk tandas hendaknya.

Okay, sudah. 6.15 petang. 45 minit lagi sebelum Kak Long aku sampai ke Jusco Maluri. Aku harap dia ingat nak belikan aku kopi Starbuck yang tiba-tiba aku kepingin mahu minum.

Selamat berdansa semua dalam pentas hidup.